Nasihat Buat Semua

Sesungguhnya Allah sayangkan insan-insan yang mengamalkan perkara-perkara ini :-

Jangan sengaja lewatkan solat.
Perbuatan ini Allah tidak suka.
Kalau tertidur lain cerita.

Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar).
Takut kalau-kalau terbawa keluar najis, mengotori seluruh rumah kita..

Jangan makan dan minum dalam
bekas yang pecah atau sumbing.
Makruh kerana ia membahayakan.

Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah
digunakan tidak berbasuh.
Makruh dan mewarisi kepapaan.

Jangan tidur selepas solat Subuh,
nanti rezeki mahal (kerana berpagi-pagi itu membuka pintu berkat).

Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan.
Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.

Jangan keluar rumah
tanpa niat untuk membuat kebaikan.
Takut-takut kita mati dalam perjalanan…

Jangan biarkan mata liar di perjalanan.
Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.

Jangan menangguh taubat bila berbuat dosa ,
kerana mati boleh datang bila-bila masa.

Jangan ego untuk meminta maaf pada
ibu bapa dan sesama manusia
kalau memang kita bersalah.

Jangan mengumpat sesama rakan taulan.
Nanti rosak persahabatan kita hilang bahagia.

Jangan lupa bergantung kepada ALLAH
dalam setiap kerja kita.
Nanti kita sombong apabila berjaya.

Kalau gagal kecewa pula.
Jangan bakhil untuk bersedekah..
Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita.

Jangan banyak ketawa.. Nanti mati jiwa.
Jangan biasakan berbohong,
kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada kita.

Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan.
Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH. . .

Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia.
Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.

Jangan mempertikaikan
kenapa ISLAM itu berkata JANGAN.
Sebab semuanya untuk keselamatan kita.

ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba ciptaanNya.

 

“Sebarkanlah ajaranku walau satu ayat pun”
(Sabda Rasulullah SAW)

“Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka
sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.”

Note : Ihsan dari kedahlanie

PAS Menang Tipis Di Manek Urai

Alhamdulillah syukur kita kepada Allah taala pilihanraya kecil di Manek Urai telah berlansung dengan jayanya dan PAS telah selamat menguburkan UMNO walaupun dengan kemenangan tipis.

Sentimen politik wang telah mewarnai pilihanraya kecil tersebut dengan pendedahan yang sangat nyata dimana pengundi-pengundi yang pulang mengundi dari luar Kelantan telah disuap dengan wang ringgit. Inilah kekuatan BN dan UMNO. Kekuatan mereka hanyalah wang ringgit semata-mata.

Kita sedih melihat betapa mudahnya maruah seseorang dibeli dengan wang ringgit. Berdasarkan pendedahan rakaman di bahagian video, tampak kelemahan pihak SPR dan Polis menangani masalah yang berlaku.

Pihak SPR dan Polis dinafikan hak untuk membuat pemeriksaan keatas rumah yang dijadikan stor duit buat pengundi-pengundi luar. Mereka seolah-olah takut dengan seseorang. Jika pihak pembangkang melakukan sedikit kesilapan, tindakan yang akan diambil sangat keras dan tiada peluang untuk membela diri, manakala jika pihak UMNO dan BN yang melakukannya, mereka seoalah-olah menjalankan tugas sambil lewa. Ini berlaku kerana mereka takut C4 akan dililit di badan dan diletupkan tanpa belas kasihan.

Pengarang percaya, sentimen pengundi di Manek Urai seolah-olah ingin UMNO dan BN menjalankan janji mereka. Maka undi mereka memihak kepada BN pada pilihanraya kali ini. Pengarang juga yakin, pada pilihanraya akan datang di kawasan tersebut, PAS akan merampas kembali majoriti lebih tinggi. Ini kerana BN tidak akan melaksanakan janji mereka walaupun mereka dapat mengurangkan undi majoriti terhadap PAS.

Itulah BN dan UMNO, parti politik yang suka menabur janji-janji kosong kepada rakyat. Jika BN dan UMNO parti politik yang memperjuangkan kepentingan rakyat, mereka tidak akan menganaktirikan rakyatnya walaupun kawasan tersebut dimenangi parti pembangkang. Rakyat parti pembangkang juga adalah rakyat Malaysia yang sah. Ada kad pengenalan macam rakyat BN, darah merah juga.

Begitulah yang akan berlaku seterusnya jika BN kekal memerintah negara Malaysia.

PPSMI

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah Taala kerana doa kita yang berjuang menuntut penghapusan PPSMI telah dimakbulkan olehNya.

Pengorbanan dan keberanian pejuang-pejuang kita yang sanggup meredah hujan gas pemedih mata dari pihak polis tidak sia-sia. Kita telah berjaya membuka mata mereka yang gah mengatakan PPSMI adalah baik bagi mereka.

Kita tidak pasti samada pembatalan PPSMI ini bagi memancing undi di Manek Urai, atau menutup mulut yang membantah atau mereka ikhlaS melakukannya. Persoalannya, kenapakah terlalu lama masa diambil untuk membatalkan dasar PPSMI ini hingga mencecah 3 tahun. Adakah ini bagi memberi peluang pihak tertentu membuat persediaan menamatkan projek mereka atau sebaliknya.

Kenapa tidak mereka membatalkannya serta merta bagi memudahkan pelajar-pelajar kita merasa lega dengan kaedah pembelajaran yang baru iaitu dalam bahasa ibunda masing-masing. Kenapa dahulu mereka kata dengan gah bahawa mereka telah menjalankan kajian terperinci dengan menilai implikasi yang bakal terjadi dalam menjalankan dasar PPSMI ini. Dan kenapa pula sekarang mereka sekali lagi mengatakan telah menjalankan kajian mendalam dan baru menemui kelemahan dasar ini.

Dari sini kita boleh menilai kelemahan yang ada didalam pentadbiran negara. Ia seolah-olah menunjukkan bahawa sesuatu dasar yang ingin dijalankan pihak pimpinan dan pentadbiran negara tidak dikaji, dinilai, diselidiki dengan mendalam terlebih dahulu.

Perlu diingat bahawa, dalam melaksanakan sesuatu dasar, kajian perlu dijalankan dengan mendalam dan mengambil kira aspek luaran dan dalaman, awalan dan akhiran serta aspek-aspek kebarangkalian. Ini penting dan perlu diketahui oleh setiap pemimpin atau pembuat dasar. Jangan hanya mementingkan keuntungan semata-mata sehingga sanggup menggadai anak-anak kita di masa hadapan.

Bahasa Melayu perlu dimartabatkan sehingga keperingkat antarabangsa. Ini kerana Bahasa Melayu masih berada pada tahap yang lemah dan mundur kerana masih tidak dapat dikenali oleh masyarakat antarabangsa berbanding bahasa Indonesia, Thailand, Jepun, Filipina dan sebagainya.

Contoh mudah yang dapat pengarang berikan disini adalah, syarikat internet gergasi antarabangsa iaitu Google masih tidak meletakkan tahap Bahasa Melayu setanding dengan bahasa Indonesia dan lain-lain bahasa. Anda pasti akan ketahui jika anda seorang blogger yang ingin meletakkan iklan di dalam blog anda dengan memohon dari google. Pihak Google tidak akan meluluskan permohonan anda jika blog anda menggunakan Bahasa Melayu berbanding bahasa Indonesia yang mudah diluluskan.

Ini jelas menunjukkan bahawa bahasa melayu masih tidak berada ditahap antarabangsa. Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama memartabatkan bahasa ibunda ini yang telah kita gunakan sejak berzaman.

Sekian Wallahualam..

Faktor Psikologikal Penyebab Penderaan Kanak-Kanak

Teori Psikologikal

Teori psikologikal adalah teori yang menggunakan proses-proses dan struktur-struktur mental dan personality seseorang untuk menerangkan kelakuan devian. Teori-teori psikologikal banyak membina skel-skel personality untuk mengkaji bagaimana manusia membentuk corak-corak personaliti yang tertentu dan bagaimana ciri-ciri ini mempengaruhi sebagai contoh personality yang agresif, peramah dan bagaimana ciri-ciri ini mempengaruhi tingkahlaku dalam keadaan social tertentu.

Faktor Teori Psikologikal Ibu Bapa

Pertengkaran

Ini bermaksud bahawa, ibu bapa yang menghadapi tekanan samada di tempat kerja, pertengkaran suami-isteri, dan sebagainya akan menyebabkan anak mereka menjadi mangsa melepaskan geram. Menurut kajian saintifik terhadap otak manusia, apabila seseorang itu tertekan terhadap situasi atau masalah yang dihadapi, maka otak mereka tidak akan dapat berfungsi dengan baik, maka dengan itulah segala tindakan yang dilakukan adalah berunsur memberontak. Ini menunjukkan satu teori psikologikal telah terlibat.

Masalah Kewangan

Tekanan masalah ekonomi atau beban kerja yang dihadapi oleh ibu bapa juga sebagai salah satu factor berlakunya penderaan kanak-kanak. Ramai ibu bapa yang menjadi kurang waras kerana tekanan tersebut. Mereka sering melepaskan tekanan tersebut dengan menyakiti atau memukul anak-anak. Aspek ekonomi memang penting untuk mewujudkan keluarga yang sempurna.Kasih sayang yang utuh dan prihatin menggunung sekalipun tidak akan berkekalan tanpa wang. Seseorang ketua keluarga yang baik mesti berfikiran jauh. Perkara yang perlu difikirkan bukan sahaja terhadap keselesaan hidup untuk hari ini,tetapi untuk masa depan yang masih panjang.

Masalah Rumahtangga

Penderaan anak-anak lebih kerap ketika ibu bapa mangsa berada dalam proses penceraian kerana mencari tempat untuk meluahkan rasa marah, kecewa dan membalas dendam. Justeru kanak-kanak berada di dalam konflik yang sangat sukar dalam hidup mereka.

Masalah Penagihan Dadah dan Arak

Ibu bapa yang ketagih dadah atau arak juga menjadi faktor utama terjadinya kes penderaan kanak-kanak. Ketagihan ini menyebabkan mereka hilang pertimbangan dan perikemanusiaan. Anak-anaklah yang sering menjadi mangsa mereka. Seperti yang diketahui,kesan dadah atau arak menyebabkan sipenagihnya lupa diri dan khayal. Oleh itu,mereka lupa akan tanggungjawab dan lupa kepada keluarga,malah menyeksa anak-anak yang tidak berdosa.

 

Faktor Teori Psikologikal Pelaku Devian Jenayah

 

Kurang Didikan Agama

Terdapat segelintir individu luar selain ibu-bapa yang mendera kanak-kanak tidak mempunyai didikan agama. Individu yang tidak mempunyai pegangan agama yang kuat ini, mereka seperti tidak ada haluan hidup. Tindakan devian yang dilakukan terhadap kanak-kanak ini dianggap seperti tidak mempunyai pembalasan yang akan di perolehi. Jika seseorang itu mempunyai didikan agama, mereka pasti akan memikirkan bahawa kelakuan atau tindakan mendera kanak-kanak ini adalah satu kesalahan besar di dalam agama mereka. Dalam agama Islam sendiri melarang umatnya berlaku kejam dan tidak adil terhadap umat yang lain.

 

Gagal Mengawal Nafsu Seks

Kegagalan mengawal nafsu seks adalah punca utama berlakunya penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang dilakukan individu pelaku devian ini. Di Malaysia, banyak kes yang telah timbul dan yang terbaru dan masih diperkatakan adalah kes Nurin Jazimin dimana, kanak-kanak ini telah mengalami penderaan seksual, penderaan fizikal, bahkan telah dibunuh dan disumbat di dalam beg sukan dan diletakkan di sebuah pasaraya. Ini menunjukkan bahawa pelaku devian ini tidak mempunyai yang waras, tidak dapat berfikir dan seolah-olah otak mereka telah beku.

 

Faktor Membalas Dendam

Dari sudut factor membalas dendam ini, ia tidak kurang peranannya. Dalam factor ini, pelaku devian ini melakukan tindakan penderaan seksual terhadap kanak-kanak akibat daripada rasa dendam terhadap bekas kekasih. Kemungkinan pelaku devian pernah dikecewakan oleh kekasih mereka. Akibat tekanan yang dialami, mereka menyimpan dendam dan bagi melepaskan geram tersebut, kanak-kanak perempuan yang biasanya menjadi sasaran mereka. Mereka seolah-olah akan merasa puas dengan melakukan tidakan sedemikian.

Faktor Ibu dan Ayah Tiri

Faktor ini adalah salah satu factor yang boleh dikatakan juga popular dalam berlakunya penderaan kanak-kanak. Kadangkala ibu bapa yang telah bercerai atau kematian suami akan berkahwin lain. Maka ibu atau ayah tiri mereka seolah-olah membenci anak-anak hasil daripada perkahwinan sebelumnya. Kebanyakan kes penderaan kanak-kanak ini tidak berlaku sewaktu ayah atau ibu sebenar kanak-kanak ini berada di rumah. Ayah atau ibu tiri ini akan melakukan penderaan terhadap kanak-kanak ini sewaktu ibu atau ayah mereka tiada. Jika di depan, dia akan bermuka-muka seolah-olah menyayangi kanak-kanak tersebut. Pada kebiasaan nya penderaan yang dilakukan oleh ibu tiri bersifat penderaan fizikal dan penderaan yang dilakukan ayah tiri bersifat fizikal dan seksual.

Masalah Penagihan Dadah dan Arak

 

Faktor penagihan dadah oleh individu bukan ibu bapa juga yang menjurus berlakunya penderaan terhadap kanak-kanak. Perkara ini boleh berlaku akibat daripada ketidakwarasan individu tersebut setelah mengambil dadah atau arak. Islam sendiri telah mengharamkan pengambilan dadah dan arak ini. Ini kerana arak dan dadah adalah memabuk dan menghayalkan. Individu yang menggunakannya tidak akan dapat menggunakan otak mereka dengan baik. Maka mereka akan bertindak di luar batasan atau mungkin lebih kepada batasan kemanusiaan. Salah satu kes yang pernah kita dengar di Malaysia dimana seorang pengawal keselamatan memperkosa seorang kanak-kanak di pondok kawalannya. Hasil siasatan mendapati bahawa pengawal keselamatan tersebut dibawah pengaruh Arak.

 

Kurang Perhatian Dari Ibu Bapa

Banyak juga perlakunya penderaan kanak-kanak adalah akibat daripada kurangnya perhatian ibu bapa kepada anak-anak mereka. Ada ibu bapa yang tidak menjaga anak mereka dengan baik. Sepatutnya ibu bapa perlu prihatin dan perlu mengetahui bahawa kanak-kanak akalnya belum berkembang. Jika kanak-kanak yang hiper aktif, mereka seolah-olah tidak kisah dengan siapa mereka bersama. Oleh itu kanak-kanak ini akan terdedah kepada penculikan oleh individu yang mengambil kesempatan. Contoh yang sama juga boleh kita tinjau terhadap kes Nurin Jazimin. Kanak-kanak ini boleh dibiarkan ibu bapa mereka pergi ke pasar bersendirian tanpa ditemani sesiapa. Ibu bapa yang melakukan perkara sedemikian seolah-olah tidak menggunakan akal mereka dengan baik. Mereka terlalu sibuk dengan kegiatan mereka sendiri sehingga mengabaikan anak-anak mereka.

 

Faktor Pendidikan Rendah

Pada aspek pendidikan rendah, factor ini meliputi pencapaikan pelaku devian yang berpendidikan rendah. Individu yang melakukan kesalahan ini pada kebiasaannya melakukan jenayah akibat daripada tekanan hidup. Mereka pada permulaannya akan menculik kanak-kanak ini bagi menjadikan tebusan demi mendapatkan kekayaan dengan mudah. Namun apabila ibu bapa melaporkan kepada polis dan pihak polis telah memulakan menjejaki kanak-kanak ini, maka individu tersebut mungkin berasa marah lalu melakukan perkara di luar batas kemanusia seperti mendera kanak-kanak tersebut secara fizikal dan seksual.

 

Jumlah pendapatan pelaku

Golongan yang tinggi melakukan penderaan ialah dalam kategori status sosioekonomi rendah iaitu di antara RM350 hingga RM750. Kehidupan di bandar-bandar besar dengan pendapatan yang kecil menyukarkan ibu bapa untuk membesarkan anak-anak mereka. Ini kerana setiap hari mereka terpaksa memikirkan bagaimana harus mencari pendapatan untuk diberi kepada keluarga.

 

Faktor Pengaruh Kisah Silam

Terdapat juga penderaan kanak-kanak yang dilakukan oleh individu yang mengalami tekanan emosi akibat kenangan silam dimana semasa mereka kecil, mereka juga pernah didera. Maka mereka terbawak-bawak perkara tersebut sehingga mengakibatkan mereka melakukan penderaan kepada kanak-kanak lain.

 

Penderaan Yang Dilakukan Pengasuh

Penderaan juga boleh berlaku dimana-mana termasuh di pusat asuhan kanak-kanak. Kebanyakan ibu bapa menghantar anak mereka ke pusat asuhan kanak-kanak yang mereka tidak pasti latar belakangnya. Ini sepatutnya tidak berlaku. Sebelum ibu bapa menghantar anak-anak mereka, mereka perlu menitik beratkan latar belakang tempat yang hendak dihantar dan latar belakang pengasuhnya. Apabila berlaku penderaan anak mereka barulah mereka mula sedar betapa silapnya cara mereka yang tidak terlalu mengambil endah perkara tersebut.

 

Masalah Psikologi Tidak Menonjol

Mengikut kajian luar negara juga berdasarkan kes-kes penderaan seksual yang wujud, kadang kala individu yang mendera kanak-kanak secara seksual ini luarannya sangat normal. seperti kes-kes yang berlaku di luar negara, yang paling tekenal adalah kes Natascha, gadis yang diculik ketika berusia 10 tahun dan dikurung sehingga 8 tahun sebelum berjaya membebaskan diri dari cengkaman penculiknya. salah satu faktor yang menyebabkan penculik atau pendera ini gagal dikesan kerana dia seorang yang normal pada lahiriahnya dan memiliki rekod bersih, baik kepada jiran tetangga tetapi agak suka menyendiri. barangkali ini juga faktor penyebab pembunuh Nurin Jazimin gagal dikesan, kerana pelaku devian tersebut tidak berada dalam senarai suspek polis mahupun rekod jenayah.

UMNO dan BN diambang kehancuran

UMNO serta BN dan kuncu-kuncu yang meletakkan batu jemala di kepala mereka bakal menimpa hingga membuatkan mereka tidak sedarkan diri. Akhir-akhir ini batu jemala yang di tatang sedang menanti menghantuk kepala mereka.

Namun dalam keadaan kritikal mereka masih cuba meletakkan penyokong dengan melempar batu-batu kecil ke arah pembangkang khususnya PAS. Batu-batu kecil ini serba sedikit terkena ke arah yang dituju dan menampakkan cedera yang boleh dilihat tapi boleh diubati.

PAS yang masih gagah perlu peka dalam menepis batu-batuan kecil yang datang kearahnya. Dengan kesepakatan yang ada di dalam kumpulan PAS perlu sama-sama memerhati dan menilai batuan tersebut. Bukan emas yang dilempar tapi batuan padu yang menyakitkan.

Emas itu hanya wujud di dalam PAS itu sendiri. Tidak ada umat yang sesukahati dan dengan ikhlas hati akan melempar emas. Gila namanya tu.

Itulah yang dapat digambarkan berdasarkan situasi yang sedang berlaku sekarang dimana UMNO dan BN yang sedang nazak menggunakan seberapa upaya yang mungkin cuba untuk menjatuh dan meretak memecah menghancur meleburkan PAS dan Pakatan Rakyat yang sedang sedia kukuh.

Pimpinan tertinggi PAS perlu peka dengan isu ini. Janganlah diulang-ulang tentang isu Perpaduan ini. Bebuluuuuuu rasanya telinga. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah sekian lama menjadi mentor PAS telahpun mengamuk. Apa lagi yang si Nasaruddin nak. Tak reti-reti lagi ke.

Wahai Ustaz Nasaruddin, tidakkah kamu kenal Tuan Guru Nik Aziz itu atau kamu sengaja membutakan mata, memekakkan telinga, membisukan lidah, membongkakkan diri, menggilai sesuatu yang tak pasti.

Jika Tuan ampunya diri bernama Nasaruddin yang masih mahukan Perpaduan, Silalah perpaduankan dirimu keluar dari PAS. Jangan tunggu sampai ada yang membaling kasut kemukamu wahai Ustaz. Kelak jatuh martabat dan airmukamu.

Ini bukan marah.. tapi nasihat

Cara Pemakaian Terkini Yang Salah

Panduan Buat Wanita Islam

DEMOKRASI DI MALAYSIA BOLEH DIJUSTIFIKASIKAN

DEMOKRASI DI MALAYSIA BOLEH DIJUSTIFIKASIKAN

       Malaysia adalah sebuah Negara bangsa yang membangun atau digelar negara Dunia ke 3. Malaysia adalah Negara yang terbentuk selepas kemerdekaan pada tahun 1957. Secara Majoriti suku kaum yang terkandung di dalam Negara Malaysia adalah Melayu, Cina, India dan lain-lain.

      Malaysia sebuah negara majmuk dari segi ras atau kaum, budaya dan agama, kita mesti bertitik-tolak dari semangat ingin bekerjasama untuk kebaikan semua kaum, budaya dan agama dalam kerangka paradigma politik negara-bangsa Malaysia baru.Sejak dari dulu juga Malaysia dikatakan mengamalkan demokrasi. Sistem parlimen menjadikan bahawa Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen. Sistem demokrasi berparlimen merupakan satu bentuk system politik yang popular diamalkan oleh Negara-negara yang mempraktikkan system demokrasi.

       Sebuah Negara demokratik ialah sebuah Negara atau kerajaan rakyat. Sebuah Negara yang demokratik yang berpelembagaan dan berdaulat, mendukungi keluhuran undang-undang. Ia mengurus tadbir pemerintahan dengan mengadakan sistem-sistem yang menjamin hak rakyat. Dalam konteks Malaysia terlalu banyak kepincangan yang jelas kelihatan yang menampakkan bahawa Malaysia bukan sebuah Negara yang demokratik. walaupun pemimpin menganggap mereka mengamalkan Negara yang demokratik tetapi menurut konsep sebenar demokrasi tersebut adalah tidak bertepatan sama sekali.

       Demokrasi di Malaysia tidak dapat dianggap demokrasi sebenar. Walaupun dengan lantang pihak pemimpin atasan mahupun bawahan mempertahankan yang mereka mengamalkan demokrasi, malang sekali ia boleh dijustifikasikan.

       Ini jelas kerana terdapat sesetengah sarjana sains politik menamakan jenis demokrasi seperti di Malaysia sebagai “Quasi-Democracy or Pseudo-Democracy” iaitu “Separa Demokrasi” atau “Demokrasi Palsu” (Wiliam Case 2004, Zakaria Ahmad 1989) atas sebab pelbagai amalan undang-undang zalim yang terus berkuatkuasa sementara mengadakan pilihan raya berkala dan meraikan institusi-institusi demokrasi yang tidak berfungsi sepenuhnya.

       Kerajaan Malaysia melaung-laungkan bahawa mereka mengamalkan demokrasi yang sebenar, tetapi berdasarkan erti dan konsep-konsep demokrasi yang diketengahkan ahli-ahli sarjana dan di dalam erti kata sebenar juga menunjukkan bahawa Malaysia tidak mengamalkan demokrasi yang sebenar. Terdapat pelbagai factor yang menunjukkan bahawa Malaysia adalah Negara yang tidak demokrasi. Banyak penganalisis politik berpendapat bahawa Malaysia hanya mengamalkan semi-demokrasi. Diantara perkara-perkara yang boleh menjustifikasikan bahawa Malaysia mengamalkan demokrasi ialah tiada kebebasan sepenuhnya di dalam sistem demokrasi itu sendiri. Berikut adalah bukti-bukti pencabulan demokrasi di Malaysia :-

 

Kebebasan Bersuara

       Kebebasan, semula jadi sebenarnya asas yang paling penting untuk menegakkan demokrasi. Aspek utama dalam kerajaan berdemokrasi ialah jaminan-jaminan hak asasi golongan minority. Adalah tidak adil sama sekali jika golongan majority yang menguasai kerajaan mendenda golongan minority dengan cara mengancam atau mengenakan sekatan-sekatan tertentu. Oleh itu semua sistem demokrasi telah mengenakan sekatan-sekatan kepada pemerintah agar tidak menjejaskan hak asasi golongan minority.

       Hak-hak rakyat sepatutnya di pandang berat oleh kerajaan dan pemerintah dalam pengamalan demokrasi. Terdapat banyak kebebasan rakyat di Malaysia telah di bataskan, lebih-lebih lagi kebebasan bersuara dan memberi pendapat kepada pihak atasan. Hak-hak asasi manusia global seperti hak-hak bersuara, dalam mencapai ‘demokrasi permuafakatan’ dengan berkumpul dan mendirikan persatuan, disamping ‘rule of law’ sering mewarnai perjuangan di Malaysia.

       Dengan gabungan rakyat mengadakan perhimpunan, nyata sekali mereka mengetepikan sentimen perkauman dengan bekerjasama tanpa mengira kaum, jantina, mahupun agama. Ini menunjukkan rakyat menginginkan sesuatu yang meraka rasakan perlu.

       Jika Malaysia Negara yang  demokrasi, pihak kerajaan sepatutnya memberikan permit kepada rakyat yang ingin mengadakan perhimpunan. Mereka sekadar ingin menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan. Mereka sekadar menggunakan suara, sepanduk sepanduk dan sebagainya bagi mendesak kerajaan. Kerajaan sepatutnya lebih terbuka dengan perkara ini.

       Di Malaysia, nampaknya kerajaan tidak terbuka dan tidak gentleman dalam menangani isu ini. Yang lebih menyedihkan, rakyat yang mengadakan demonstrasi disekat sama sekali dengan menggunakan kuasa yang mereka ada dan mengarahkan pihak polis menyuraikan. Pihak polis pula menyuraikan dengan tembakan air asid dan gas pemedih mata. Ini menggambarkan ketidakadilan berlaku kepada rakyat.

       Pihak pemimpin dan kerajaan sepatutnya mengambil berat terhadap pandangan rakyat. Contoh yang terbaru dapat kita kenal pasti bbaru-baru ini dimana pada 10 september gabungan rakyat yang memakai pakaian serba kuning yang digelar gabungan BERSIH yang mengadakan perhimpunan bagi menghantar memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong kerana menginginkan pilihanraya yang bersih. Mereka berasa bahawa pilihanraya sebelum ini tidak bersih dengan alasan-alasan tertentu.

       Tetapi perhimpunan yang diadakan telah disekat sejak awal. Walau bagaimanapun perhimpunan tersebut tetap berlansung dengan kehadiran puluhan ribu rakyat yang berarak. Tidakkah terbuka mata pemimpin melihat kehendak rakyat tersebut.

       Pihak polis juga seolah-olah tidak memahami apa itu hari hak asasi manusia. Ini kerana pihak polis telah bertindak menangkap terhadap peguam-peguam yang mengadakan sambutan hari kebebasan hak asasi manusia. Tindakan tersebut lebih mencemarkan demokrasi yang kononnya diamalkan.

       Sepatutnya kebebasan rakyat berhimpun secara aman telah dijamin didalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi wujudnya seksyen 27 Akta Polis 1967 yang perlu memohon permit kepada Polis, telah menggugat kebebasan berhimpun  di dalam Negara yang melaksanakan demokrasi ini. Ini menampakkan seolah-olah Malaysia adalah Negara polis, kerana kuasa polis amat luas sehingga berjaya mengetepikan Perlembagaan Persekutuan. Di manakah demokrasi yang dicanang oleh pihak pemimpin. 

 

Kebebasan Media Massa.

       Media Massa samada media elektronik ataupun media cetak adalah satu sistem komunikasi atau sistem yang digunakan oleh setiap Negara bagi maklumat-maklumat yang meliputi semua perkara. Setiap Negara yang mengamalkan demokrasi perlu memberikan hak kepada mana-mana individu mahupun parti politik bagi menggunakan media massa yang ada bagi memberikan maklumat yang mereka ada.

       Namun di Malaysia, kebebasan media massa telah disekat sama sekali. Pihak kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan telah memonopoli sama sekali media massa ini. Memonopi media disini bermaksud, pencabulan hak asasi yang dilaksanakan parti yang memerintah apabila dengan kuasa yang mereka perolehi mereka memonopoli penggunaan Media samada media cetak dan elektronik. Sesebuah Negara yang mereka katakan demokrasi sepatutnya kebebasan menggunakan media cetak dan elektronik adalah dibenarkan. Tetapi ia berlaku sebaliknya.

       Kerajaan telah menjerut akhbar dan majalah dengan menekan para penerbit untuk mendapatkan lessen rasmi setiap tahun dan mempunyai kuasa dan selera untuk menggantung lesen itu seandainya muncul berita yang tidak menyenangkannya. Kerajaan mahu berperanan besar dalam mengaturkan cara parti politik pembangkang menyibarkan maklumat mereka. Kerana itu, parti pembangkang hanya dibenarkan menjual penerbitan mereka kepada ahli-ahli sahaja.

       Setiap hari di media cetak dan elektronik, hanya terpampang tentang kebaikan parti pemerintah dan keburukan parti pembangkang. Hanya orang yang tak cukup akal sahaja yang boleh menerimanya. Orang-orang yang tak cukup akal inilah yang tergolong dalam masyarakat yang berfikiran sempit dan terlalu lama duduk di dalam kepompongnya sendiri.

       Walaupun pihak pembangkang tidak dapat menggunakan media seperti parti pemerintah, tetapi pihak pembangkang telah menggunakan pendekatan dengan melancarkan Akhbar mereka sendiri iaitu Harakah. Pada peringkat permulaannya, Harakah dikeluarkan setiap hari, tetapi ia telah di halang penjualannya oleh pihak kerajaan. Mereka bimbang kerana peningkatan pembelian Harakah oleh masyarakat. Bimbang jika bakal Harakah dapat mempengaruhi rakyat, maka pihak kerajaan telah menggunakan akta penerbitan dan percetakan sehingga Harakah hanya boleh dijual 2 kali dalam seminggu. Itu pun tidak dapat menghalang kebimbangan mereka setelah kerajaan mengetatkan lagi syarat sehinggalah Harakah hanya boleh dikeluar 2 kali dalam sebulan. Ketidakadilan yang berlaku ini sungguh ketara.

       Pihak pembangkang juga terpaksa mengadakan ceramah-cerama bagi memudahkan komunikasi mereka dengan rakyat, namun ceramah-ceramah mereka juga disekat. Pihak pemerintah tidak memberikan permit. Di manakah demokrasi yang diperkatakan.

 

Sistem Kehakiman

       Kita juga dapat melihat bagaimana sistem kehakiman negara kini menjadi bahan ketawa orang ramai manakala pihak polis juga telah kehilangan keyakinan dan kepercayaan dari rakyat jelata . Institusi ini yang sepatutnya memperlindungi rakyat sebagai tunjang demokrasi nampaknya kecundang dan menjadi penyelamat kepada pemerintah yang semakin gelisah akan kehilangan kuasa.

       Contoh yang amat ketara dan terbaru dimana terbongkarnya sistem kehakiman yang pincang dimana seorang peguam telah mengadakan perbualan dengan seorang hakim dalam percaturan kehakiman di mahkamah. Ia adalah satu perkara yang amat memalukan bagi kerajaan yang sentiasa mengatakan mereka mengamalkan demokrasi dan kebebasan dalam sistem kehakiman. Namun yang menjadi persoalannya, pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) sepatutnya menyiasat perasuah tetapi sebaliknya berlaku dimana BPR hanya menyiasat pelapornya sahaja.

 

Menganaktirikan Negeri Yang Ditawan Parti Pembangkang

       Apa yang dimaksudkan dengan menganaktirikan Negeri yang pernah ditawan parti pembangkang ini adalah kawasan atau negeri yang dimenangi oleh pihak berhaluan kiri atau pihak pembangkang. Apa yang hendak ditekankan disini adalah, Pihak kerajaan telah menganaktirikan negeri yang dimenangi pembangkang dengan tidak memberi peruntukan dana bagi melaksanakan pembangunan. Pihak kerajaan yang diwakili parti pemerintah juga cuba menakut-nakutkan pelabur tempatan supaya tidak membuat pembangunan di negeri yang ditakluki parti pembangkang.

       Tindakan pihak pemerintah ini bertujuan bagi memberi gambaran kepada umum bahawa, parti pembangkang tidak berjaya dan tidak mampu membangunkan negeri mereka, justeru alasan-alasan ini juga digunakan bagi membuat contoh kepada umum tentang betapa daifnya negeri yang dimenangi pihak pembangkang. Kerajaan yang mengamalkan demokrasi tidak sepatutnya memperlakukan perkara sedemikian. Walaupun negeri tersebut dimenangi pembangkang, pihak kerajaan wajib memberi peruntukan yang sepatutnya dalam memajukan negeri tersebut.

 

Kongkongan Terhadap Pekerja Sektor Awam

       Ketidakadilan juga berlaku apabila pihak kerajaan atau parti pemerintah seolah-olah menakut-nakutkan dan seolah-olah mengugut rakyat yang bekerja di sector Awam. Hak rakyat untuk mengundi dengan telus juga tidak mencapai target kerana kebimbangan rakyat oleh kerana pelbagai undang-undang keras dan penindasan oleh kerajaan terus menimbulkan rasa takut. Rakyat berasa bimbang pekerjaan mereka akan terjejas jika mengundi dengan telus.

       Perkara sebegini sepatutnya tidak berlaku di Negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Ini menampakkan seoalah-olah pihak kerajaan tidak professional dalam menjalankan pilihanraya yang telus dan adil.

 

Tempoh Berkempen Dalam Pilihanraya

       Dalam melaksanakan pilihanraya yang telus, kerajaan sepatutnya memberi peluang kepada semua pihak dalam mengadakan kempen dengan baik. Tetapi di Malaysia jika dahulu kerajaan menetapkan tempoh kempen selama 30 hari, tetapi pada pilihanraya tahun 2004, tempoh kempen yang dibenarkan hanyalah 8 hari. Kalau begitulah singkatnya tempoh kempen, bagaimanakah kita hendak meraikan proses demokrasi setiap empat tahun sekali.

 

Suruhanjaya Pilihanraya

       Suruhanjaya Pilihanraya adalah satu badan yang bebas dalam mengadili pilihanraya di Malaysia. Namun sejak dahulu hingga sekarang, kebebasan terhadap sistem yang diamalkan SPR boleh dipertikaikan. Ini berdasarkan apa yang berlaku pada pilihanraya 2004 dimana terlalu banyak kepincang yang berlaku diantaranya terlalu banyak kehilangan nama pengundi semasa pilihanraya 2004, wujudnya nama-nama pengundi yang  telah meninggal dunia dan terdapat orang yang meninggal dunia pergi mengundi. Sungguh ajaib.

       Di manakah sistem yang bersih diamalkan pihak SPR. Apakah yang dilakukan pihak SPR selama 4 tahun sebelum bermula pilihanraya pada 2004 tersebut. Adakah seminggu nak pilihanraya baru nak buat kerja. Siapa pula pengundi-pengundi yang menggunakan nama orang yang telah meninggal dunia. Barangkali inilah yang dinamakan pengundi hantu oleh pihak parti pembangkang selama ini.

             

Pembahagian Kekayaan Negara

       Ciri persamaan di kalangan rakyat jelata merupakan suatu cirri yang lebih ideal daripada hakiki. Terdapat pelbagai persamaan dalam undang-undang, persamaan peluang, persamaan dalam pemilikan kekayaan Negara, persamaan kelakuan dan sebagainya.

       Pembahagian kekayaan Negara hendaklah diuruskan dengan sama rata. Namun di Malaysia, jurang antara yang miskin dan yang kaya semakin jauh. Yang kaya bertambah kaya dan yang miskin papa kedana. Sejajar dengan sistem demokrasi, permintaan ke atas kebebasan rakyat bertambah tetapi kebebasaan itu disalah gunakan untuk melakukan keganasaan. Yang lebih mendukacitakan, para pemimpin yang dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihanraya sebenarnya tidak mampu untuk mengatasi masalah rakyat.

       Dasar kerajaan dalam memberi kekayaan sama rata kepada rakyat telah tidak menampakkan hasil apabila berlakunya kebangkitan kaum India baru-baru ini yang menuntut agar mereka tidak disisihkan. Sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan Demokrasi, kekayaan Negara perlu diagihkan dengan sebijak-bijaknya. Ini berlaku sebaliknya.

       Di Malaysia kita boleh Nampak dengan ketara bahawa pihak-pihak atasan kerajaan seolah-olah membolot harta kekayaan Negara untuk diri mereka sendiri. Ini dapat dilihat dengan kewujudan asset-aset mereka yang disembunyikan, rumah-rumah besar dan banyak lagi. Sepatutnya pihak-pihak atasan perlu mengumumkan kekayaan mereka agar tidak berlakunya penyelewengan yang berleluasa.

       Penyelewengan harta kekayaan Negara juga dapat dilihat apabila negiri yang dikatakan kaya dengan minyak tetapi negerinya mempunyai peratus rakyat miskin yang tertinggi di Malaysia iaitu Terengganu. Dimanakah kekayaan negeri ini digunakan. Adakah untuk pemimpin-pemimpin atasan yang gila kuasa. Fikirkanlah dengan rasional.

Tindakan Ganas Polis

       Salah satu lagi aspek yang mempengaruhi perjuangan memartabatkan hak asasi manusia di dalam Negara yang kononya mengamalkan Demokrasi adalah berpunca apabila Anwar Ibrahim di pukul di dalam tahanan. Kesan lebam di mata Anwar Ibrahim yang jelas mendapat liputan meluas dari media cetak dan media elektronik samaada dari dalam atau luar negeri membangkitkan kemarahan banyak pihak. Pihak polis di anggap terlalu kejam dengan melakukan perkara tersebut kepada orang yang pernah menjadi orang kedua berpengaruh di dalam Negara. Ini salah satu aspek berlakunya rombakan besar-besaran di dalam pembangunan politik di Malaysia pada tahun 1999 sehingga mengurangkan undi BN. Akibat dari itu, rata-rata rakyat menginginkan campurtangan raja-raja melayu sehingga tertubuhnya Suruhanjaya Diraja sehingga tertangkapnya Tan Sri Rahim Nor.

Badan Bukan Kerajaan (NGO)

       Setiap Negara yang demokrasi pasti wujud badan bukan kerajaan dalam menjalankan pemantauan terhadap segala apa yang berlaku di dalam sistem demokrasi tersebut. Namun di Malaysia, NGO seolah-olah tidak diambil peduli lansung oleh pihak kerajaan. Banyak persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan NGO seolah-olah tidak ada maknanya. Pihak kerajaan seolah-olah meletakkan NGO sebagai sebuah badan yang mengganggu kerja mereka, maka mereka tidak akan mempedulikannya.

 

Sistem Keadilan

       Dalam konteks sistem kehakiman Negara pula, pihak parti pembangkang membangkitkan persoalan bahawa, kesalahan Anwar Ibrahim sepatutnya dibicara di mahkamah syariah kerana Anwar Ibrahim adalah seorang islam. Tetapi pihak kerajaan melakukan sebaliknya dan Hakim yang dipilih adalah hakim bukan beragama islam.

       Isu ini juga membangkitkan kemarahan ramai pihak. Oleh yang demikian, isu ini adalah satu isu yang boleh diketengahkan parti pembangkang bagi memperolehi sokongan rakyat dalam menghadapi pilihanraya. Justeru isu pemecatan bekas ketua hakim Negara Tun Saleh Abbas yang diecat tanpa sebab juga dibangkitkan bagi mengetengahkan pencabulan hak asasi manusia oleh kerajaan.

Bersambung..

Penderaan Kanak-kanak

Masalah penderaan kanak-kanak adalah satu isu yang sangat serius kebelakangan ini. Tindakan penderaan ini seolah-oalah tidak mempunyai noktahnya selagi tiada inisiatif magi menghalang dan mencegah perkara ini berlaku.

Keganasan terhadap kanak-kanak mengikut definisi termasuklah keganasan fizikal, keganasan psikologikal, diskriminasi, terbiar dan juga penganiayaan. Ia juga merangkumi penderaan di dalam bentuk fizikal, perkataan dan seksual di rumah kepada hukuman yang memalukan dan penindasan di sekolah, termasuklah penderaan dan juga penyisihan dalam institusi sehinggalah pergaduhan sesama kumpulan di jalanan di mana kanak-kanak bermain atau bekerja.

Ada di antara mereka yang merasakan punca utama kes-kes penderaan yang berlaku di negara ini adalah disebabkan taraf sosio ekonomi yang rendah oleh keluarga tersebut. Ada juga yang merasakan bahawa sikap ibubapa yang pemabuk dan tidak bertanggungjawab sebagai punca utama kepada masalah tersebut.

Sebab-sebab lain yang dirasakan sebagai penyebab kepada masalah tersebut ialah tidak mempunyai pendidikan, tidak mempunyai pekerjaan, dan keluarga yang berpecah belah. perbezaan di antara ahli profesional juga wujud mengenai cara untuk menyelesaikan masalah. Ada yang mencadangkan agar tindakan undang-undang diambil ke atas mereka yang mendera. Ada pula yang mencadangkan supaya diadakan kelas-kelas kaunseling dan sebagainya. Walau apapun pandangan yang dikemukakan, isu yang penting kepada masyarakat ialah masalah sosial merupakan agenda yang perlu diberikan perhatian yang serius.

 Sejak kebelakangan ini, kita dapat mendengar dan melihat tentang berlakunya penderaan kanak-kanak yang boleh dikatakan menyentuh hati. Diantaranya kes Nurin Jazimin yang di didera, perkosa dan dibunuh. Kes seperti ini kadangkala menyakitkan hati kita. Kita tidak dapat menyangka, manusia boleh bersifat melebihi sifat binatang. Tingkahlaku devian ini bercirikan kelakuan ganas terhadap golongan yang kurang berkuasa dalam masyarakat manusia iaitu kanak-kanak. Kisah kekejaman yang dilakukan terhadap kanak-kanak sering dipaparkan di media massa sama ada media elektronik atau media cetak. Apabila sesuatu berita penganiayaan itu dipaparkan, perasaan masyarakat akan terusik lalu mengutuk perbuatan tidak berperikemanusiaan itu. Reaksi seumpama ini memang lumrah. Setiap kali kes penganiayaan dipaparkan di surat khabar, setiap kali itu juga masyarakat akan bangun meminta orang yang tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Masyarakat rata-rata mengklasifikasikan bahawa perlakuan penderaan terhadap kanak-kanak ini tidak boleh diterima. Kita sendiri telah sedia maklum bahawa anak seperti kain putih, ibu bapalah yang bakal mencorakkannya untuk menjadikan manusia putih bersih atau hitam legam.

Tetapi wujud juga situasi dimana ibu bapa sendiri yang mendera anak mereka. Jika kita lihat Ibu kucing bersama anaknya, pernahkah kita Nampak ibu kucing itu mendera atau memukul anaknya? Jawapannya adalah tidak pernah. Maka oleh kerana itulah Ibu bapa yang mendera anak mereka boleh digelar melebihi sifat binatang. Mereka seolah-olah tidak mempunyai perasaan terhadap anak mereka.

Ibu bapa seharusnya tahu atau mengambil berat tentang Undang-undang Kanak-kanak Malaysia.Undang-undang ini menyatakan bahawa kanak-kanak harus dihormati sebagai seorang insan.Mereka perlu diberi perhatian sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat.Kanak-kanak juga perlu dididik dalam persekitaran yang baik.Sekiranya ada ibu bapa yang mendera atau menyeksa anak-anak,maka mereka ialah orang yang tidak memahami Undang-Undang Kanak-Kanak Malaysia dan patut menerima hukuman yang setimpal

            “Menurut Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak, keganasan terhadap kanak-kanak dalam apa jua bentuk adalah merupakan pencabulan terhadap hak-hak asasi mereka. Keganasan terhadap kanak-kanak tidak boleh dipertahankan sebagai sebab-sebab untuk mendisiplin ataupun sebagai suatu budaya tradisi. Adalah sia-sia dan tidak bermanfaat untuk memalukan kanak-kanak. Terdapat pelbagai cara lain untuk mendisiplinkan kanak-kanak dengan lebih berkesan yang tidak menggunakan keganasan apabila mengajar kanak-kanak tentang keluarga dan juga apa yang diharapkan di dalam kelakuan mereka,”

Oleh yang demikian, sama-sama lah kita menyedari hakikat bahawa, kanak-kanak adalah kesinambungan kehidupan kita. Janganlah kanak-kanak diperlakukan seperti bahan mainan yang tidak berguna. Didik lah anak-anak kita agar menjadi orang berguna kelak.

Gejala Sosial Di Malaysia

Gejala sosial adalah suatu gejala yang telah mengakibatkan berlakunya ketidak tentuan sistem kemajuan dan ketamadunan sesebuah negara. Gejala sosial yang berlaku akhir-akhir ini telah meruntuhkan sifat semulajadi manusia.

Di Malaysia, kita dapat mengenal pasti terlalu banyak gejala sosial yang berlaku. Saban hari kita didedahkan tentang gejala-gejala sosial yang berlaku di media-media massa dan media elektronik. Diantara gejala yang kerap kita dengari adalah

  1. Merempit
  2. Membuang anak
  3. Seks luar nikah
  4. Bergaduh di sekolah
  5. Berdisko
  6. Minum minuman keras
  7. Ponteng sekolah

Ini segelintir sahaja gejala sosial yang kerap kita dengari, bagaimana pula dengan gejala yang tidak kita ketahui dan berleluasa di negara ini.

Gejala sosial boleh dielakkan dari berlaku dengan mengambil kira banyak faktor dan perlu disertai oleh banyak pihak antaranya

1. Ibu Bapa

Ibu bapa perlu memainkan peranan lebih dalam mengelakkan anak-anak mereka dari terlibat di dalam gejala-gejala sosial yang tidak bermoral. Sebagai ibu bapa, mereka perlu memberi tumpuan kepada anak-anak dengan mengambil kira siapakah rakan-rakan mereka, kemana mereka pergi selepas waktu sekolah, adakah mereka benar-benar sampai di sekolah. Ibu bapa juga perlu memberikan didikan agama yang lebih kepada anak-anak mereka dari peringkat awal dalam mendidik hati dan jiwa agar dipenuhi dengan akhlak yang mulia. Disamping itu ibu bapa tidak digalakkan terlalu mendedahkan anak-anak mereka dengan hiburan yang berlebihan.

2. Sekolah dan guru

Pihak sekolah dan guru adalah pihak kedua yang dapat membentuk remaja-remaja dari peringkat awal. Pihak sekolah dan guru perlu lebih memberi perhatian kepada pelajar mereka tidak kira samada pelajar mereka seorang pelajar yang  mundur ataupun yang cemerlang. Dari pengalaman pengarang sendiri, pengarang bukanlah seorang pelajar yang cemerlang di sekolah. Pengarang boleh dianggap pelajar yang ketinggalan. Guru-guru tidak terlalu memberi tumpuan dan perhatian terhadap pengarang. Ini mengakibatkan pengarang hilang tumpuan dan hilang keinginan belajar. Namun begitu, berkat daripada keazaman dan doa, akhirnya pengarang berjaya. Guru-guru perlu lebih peka terhadap keinginan pelajar. Janganlah disisih pelajar yang mundur kerana mereka lebih memerlukan perhatian.

Pihak guru dan sekolah juga perlu lebih mendedahkan kepada pelajar perkara-perkara yang dapat membentuk sahsiah pelajar dan mempraktikkan contoh yang baik kepada pelajar agar dapat diikuti.

3. Media Massa dan Elektronik

 pihak media massa dan media elektronik perlu menyebarkan maklumat-maklumat yang berguna dalam membantu membentuk minda anak-anak dan remaja terhadap perkara-perkara yang lebih baik dan bukannya terlalu mendedahkan mereka dengan hiburan yang berlebihan samada dari dalam negara ataupun luar negara. Ini kerana, minda kanak-kanak dan remaja terbentuk dari peringkat awal berdasarkan apa yang dilihat, didengar, disentuh dan seumpamanya.

Mereka akan mencuba sesuatu perkara yang baru. Jika perkara tersebut buruk, maka ia berkemungkinan bakal membentuk sifat yang buruk terhadap minda dan kelakuan mereka. Maka pihak media massa dan media elektronik perlu lebih peka dalam menilai dan menangani isu ini.

4. Pemimpin dan Kerajaan

Pemimpin dan Kerajaan mempunyai pengaruh yang kuat dalam membantu membentuk rakyatnya, tidak kira peringkat umur. Dalam menangani isu gejala sosial ini, pihak pimpinan yang menerajui kerajaan perlu menjalankan satu dasar atau kaedah yang lebih baik dalam membantu membentuk rakyat yang lebih baik agar negara sentiasa berada dalam keadaan yang aman dan makmur.

Sepertimana Malaysia, PLKN telah dilaksanakan bagi membentuk sahsiah pelajar agar lebih matang dan berdaya maju. Memang boleh dikatakan sistem yang dijalankan baik dan berguna buat pelajar dan remaja, namun begitu, ia perlu lebih menerapkan nilai-nilai murni yang tingga serta lebih mendedahkan penerapan ajaran agama yang lebih. Ini kerana di dalam program PLKN yang telah dan masih dijalankan, terdapat pergaulan antara lelaki dan perempuan yang tidak dibendung.

Perkara sebegini yang bakal menjejaskan objektif asal program tersebut dan bakal merosakkan lagi dan menambahkan lagi gejala sosail yang teruk dan bakal menjadikan sesebuah bangsa seperti tidak beragama.

Bersambung..

Fikir Sejenak

Ulama adalah pewaris nabi yang menjalankan dakwah dan menyebarkan risalah dalam mengembangkan agama Allah kepada umat manusia di muka bumi. Ulama juga adalah contoh terbaik yang perlu diambil dalam meneruskan perjuangan yang telah didaulatkan ke atas umat manusia.

Malaysia salah sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah beragama islam telah sejak berzaman lagi mempunyai ulama-ulama yang sangat dikagumi dalam mengembangkan ajaran islam demi menjadikan negara ini sebuah negara yang dirahmati Allah. Setiap umat islam di Malaysia telah sedia kita ketahui sangat menghormati ulama-ulama yang menjalankan ajaran Allah di Malaysia. Namun akhir-akhir ini dapat kita nilai bahawa ada segolongan ulama yang tidak lagi dihormati dan dikagumi oleh sesetengah umah Islam di negara ini.

Ini berlaku akibat daripada penyertaan ulama-ulama tersebut ke dalam era politik lebih-lebih lagi pada parti pembangkang. Kenapakah ini berlaku? Apakah ada perbezaan ajarannya apabila mereka menceburi bidang politik? Adakah mereka telah sesat?

Soalan-soalan ini sangat mudah dijawab. Jawapannya hanya satu iaitu golongan yang telah membenci ulama yang memasuki politik pembangkang adalah mereka yang kurang ilmu agamanya. Pengarang berpendapat sedemikian kerana, cuba anda fikir sejenak, dahulu ulama-ulama yang berceramah di dalam tv itu adalah ulama yang sama yang telah memasuki parti politik pembangkang.. dahulu sebelum mereka menceburi bidang politik, anda sanjung, anda puja, anda suka, tapi kenapa sekarang anda cerca. Tidakkah anda takut dengan hukuman Allah.

Tidakkah terbuka minda anda untuk cuba mencari sebab kenapakah ulama ini telah berpaling ke parti pembangkang. Carilah maklumat.. jangan lah jadi manusia yang duduk di bawah tempurung. Buka minda dan buka hati, sanggupkah anda terus mencerca manusia yang bergelar ulama yang tujuan utama meraka menegakkan agama Allah di muka bumi Malaysia ini.

Sedarlah wahai rakan-rakan. Ini bukan kata-kata kosongku, ini adalah sesuatu yang perlu anda fikirkan. Semoga Allah membuka pintu hati dan akalmu dan diberikan petunjuk jalan yang benar.

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 7 other followers